Tuesday, October 13, 2009

Jangan mansuhkan biasiswa sedia ada

Pentadbir institusi pengajian tinggi menyambut baik usaha kerajaan mewujudkan kategori khas biasiswa Jabatan Perkhidmatan awam (JPA) yang dikenali sebagai biasiswa Nasional.

Menurut mereka, pemberian biasiswa itu akan memberi peluang kepada lebih ramai pelajar cemerlang mendapat pembiayaan tetapi pada masa yang sama berharap biasiswa sedia ada dapat dikekalkan.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Professor Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah berkata, program biasiswa itu adlah baik kerana ia akan mewujudkan budaya bersaing di kalangan pelajar.

“Bagaimanapun biasiswa sedia ada di bawah JPA perlu diteruskan mengikut peruntukan sedia ada dan tidak dimansuhkan atau diganggu gugat peranannya,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, biasiswa sedia ada bertujuan membantu pelajar bumiputera di luar bandar serta yang kurang berkemampuan meneruskan pengajian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan kerajaan akan mewujudkan satu kategori khas biasiswa JPA dikenali sebagai Biasiswa Nasional yang kelayakannya 100 peratus berdasarkan merit mulai tahun depan.

Menurut beliau, kajian semula pengagihan biasiswa JPA itu menetapkan hanya pelajar yang meraih keputusan peperiksaan terbaik akan memperoleh biasiswa tersebut tanpa mengira kaum dan agama.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah pula berharap Biasiswa Nasional juga meminta kerajaan mengekalkan biasiswa sedia ada.

“Biasiswa Nasional boleh ditawarkan sebagai satu biasiswa khusus dan ia tidak sama dengan biasiswa khusus dan ia tidak sama dengan biasiswa sedia ada untuk memberi keadilan kepada pelajar luar bandar,” katanya.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Mohamad pula berkata, pihaknya menyokong keputusan kerajaan tersebut tetapi dengan syarat biasiswa JPA sedia ada tetap dikekalkan.

Katanya, makna merit juga perlu diperluaskan bukan sahaja pada prestasi bukan sahaja pada prestasi akademi dan kokurikulum sahaja tetapi ia juga mengambil kira beberapa faktor lain.
“makna merit yang digariskan melalui Biasiswa Nasional nanti juga perlu mengambil kira faktor pendapatan, tanggunggan dan lokasi pelajar seperti di luar bandar dan bandar, katanya.
Bekas Pengerusi Pendidikan Pemuda UMNO Malaysia, Ahmad Ikhmal Ismail yang juga merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian Jerai pula berkata, keputusan kerajaan itu adalah langkah jangka panjang yang baik bagi mengurangkan kebergantungan kaum bumiputera kepada kerajaan.

Bagaimanapun, katanya kerajaan diminta mengumumkan ciri-ciri Biasiswa Nasional termasuk jumlah peruntukan yang disediakan, kelayakan pemohon dan bentuk merit yang dimaksudkan.
Katanya, pemberian biasiswa itu juga perlu mengambil kira aktiviti kokurikulum serta aspek kepimpinan pelajar setiap hari di sekolah.

Beliau berkata, JPA juga disaran mengehadkan pemohon biasiswa kepada pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 9A, 1B ke atas sahaja.

“Ini akan menghapuskan dakwaan sesetengah pihak tertentu bahawa kononnya pelajar yang tidak layak akademik juga diberikan biasiswa daripada kerajaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment